Sunday, 4 October 2020

BBBS Zikir Akhir Zaman (bahagian 2) Karya: Abu Fatiah Al Adnani

Bicara Buku Bicara Santai

Zikir Akhir Zaman (bahagian 2)

Karya: Abu Fatiah Al Adnani

Buku ini sangat penting untuk dibincangkan kerana kita sudah berada di akhir zaman tersebut. Kita sangat memerlukan perkara-perkara yang boleh menguatkan kita dalam menghadapi fitnah dan ujian akhir zaman.

Buku ini mendedahkan kepada kita amalan-amalan zikir dan doa yang boleh menguatkan kita terutama dalam menghadapi bala bencana, musibah dan bermacam ujian akhir zaman. Seperti yang kita hadapi sekarang, Covid-19, kita sangat perlukan kekuatan dalam diri kita.

Dalam perkongsian lepas, kita sudah membincangkan bahawasanya di akhir zaman, akan berlaku kemerosotan nilai hidup manusia. Berdasarkan hadis Rasulullah: "Akan datang satu masa nanti, manusia makin lama, makin teruk (makin jauh daripada agama Allah SWT dan pengamalan yang sesuai yang diminta Allah)". Mereka beribadah kepada Allah tetapi kosong dari nilai. Yang sepatutnya memantapkan hubungannya, mendekatkannya kepada Allah SWT. 

Tapi manusia akhir zaman akan berhadapan dengan itu. Apakah kunci untuk kita memperbaiki diri? Apakah cara untuk kita menghindari penyakit akhir zaman iaitu Ghaflah (lalai) yang menyerang ramai manusia? Majoritinya adalah lalai dan leka. Dan I'rad (menjauhi agama). Walaupun ramai yang sekarang mendekati agama, hadir ke majlis-majlis ilmu tapi tak dinafikan majoriti manusia makin jauh. 

Oleh itu ubat utama untuk menyelesaikan masalah itu adalah zikir. kita tak cerita orang lain, kita cerita diri kita sendiri. Apa yang kita amalkan, dizikirkan? Adakah zikir dalam diri kita? Sama ada zikir Asmaul Husna, zikir-zikir yang diajarkan Rasulullah ataupun dalam bentuk doa, bacaan Quran, solat atau amal-amal kebaikan yang diikhlaskan di jalan Allah SWT. Ini juga zikir termasuklah majlis ilmu yang mengingatkan kita kepada Allah SWT.

Bab Pertama: Rahsia Kekuatan Zikir dan Doa Sebagai Penolak Bala

Zikir dan doa mempunyai kekuatan yang hebat untuk menolak bala. Kita tahu dalam kehidupan ini, tidak akan lari dari takdir baik dan buruk (al-qadr khairihi wa syahri) - beriman kepada ketentuan Allah yang baik dan yang buruk. Allah SWT memberi kepada kita senjata untuk menghadapi berbagai macam perkara yang berlaku dalam hidup kita ini. Apakah senjata itu? Bukanlah rahsia atau sesuatu yang perlu dituntut di pondok sambil bawa ayam.

Di dalam buku ini didatangkan kisah Urwah bin Zubair yang pernah kita bincangkan dalam Bicara Buku Bicara Santai yang lepas dalam buku al-Khusyuk Fis Solat (Khusyuk Dalam Solat). Urwah bin Zubair untuk buat pembedahan kaki, doktor minta dia minum arak supaya hilang ingatan tetapi dia tidak mahu. Dia ingin sentiasa ingat Allah. Jika mabuk tidak dapat ingat apa-apa. Maknanya tidak dapat ingat Allah SWT. 

Dia ingin sentiasa ingat Allah SWT. Maka bagaimana caranya dipotong kakinya? Urwah minta solat dan dipotong kakinya semasa solat itu. Urwah mempunyai hubungan baik dengan Khalifah ketika itu iaitu Al Walid bin Abdul Malik. Perlu diketahui hubungan antara keluarga Urwah bin Zubair. 

Ayahnya Zubair adalah sahabat Nabi yang dijamin masuk syurga. Zubair berkahwin dengan Asma' binti Abu Bakar. Maka Aisyah adalah ibu saudara Urwah. Abangnya Abdullah bin Zubair  pernah menjadi Khalifah. Kuasanya pada masa itu sangat luas. Lebih hebat kuasanya daripada keluarga Umayyah. 

Berlakulah peperangan antara keluarga Zubair dengan Muawiyah. Abdullah bin Zubair kalah dan Urwah bin Zubair tidak cenderung kepada politik atau kekhalifahan. Dia lebih cenderung kepada keilmuan. Maka dia menjadi seorang ulamak yang sangat tawadhu', alim dan zuhud. Mempunyai karekter yang sangat bagus. 

Dia ada seorang anak bernama Abdullah bin Urwah bin Zubair yang juga dididik dengan didikan ulama'. Maka pada satu masa, Urwah mempunyai satu inisiatif untuk menghubungkan kembali dan mendamaikan semula antara keluarga Zubair dengan keluarga Muawiyah. Maka dia pergi ke Syam (Damsyik) dari Mekah. Dalam perjalanannya, ketika sampai di Wadi al-Qura, dia terpijak sesuatu yang menyebabkan kakinya luka dan menyebabkan kakinya sakit dan bernanah. Tetapi dia ada misi besar untuk mendamaikan keluarga Zubair dan Muawiyah. 

Maka, dia berjalan juga ke Syam. Apabila sampai di sana, kakinya sudah memburuk. Maka waktu itu, Khalifah Walid bin Abdul Malik menasihatinya berdasarkan kepada pandangan doktor supaya memotong kakinya. Urwah tahu kalau tiada kaki bagaimana hendak buat apa-apa. Maka Urwah tetap cuba bertahan. Dia berada di dalam Syam beberapa hari. Manakala kakinya makin teruk dan akhirnya dipotong juga kakinya semasa dia solat.

Ketika mengingati Allah SWT. Selepas dipotong kakinya, anak yang pergi ke Syam bersamanya pergi melihat kuda-kuda Khalifah yang ada di istana. Semasa melihat kuda, Abdullah ditendang kuda pada bahagian dadanya dan mati di situ juga. Sudahlah kakinya dipotong, anaknya pula meninggal. Ujian ini sangat besar bagi Urwah. Semasa pulang dari Damsyik, beliau lalu di kawasan di mana kakinya terluka. Dia berasa sedih dan terkenang keadaannya yang sebelumnya boleh berjalan dengan dua kaki. Terkenang anaknya sebelum ini ada tujuh orang, seorang dah meninggal. 

Tiba di kawasan itu, dia melakukan solat sunat, berzikir kepada Allah SWT, membaca ayat al-Quran dan antara doa yang dibacanya berulang-ulang sebagai iktibar bagi dirinya ialah "Allahumma lakal hamdu" (lihat m/s 26): 

Ya Allah, apa pun yang berlaku, segala pujian bagiMu, Ya Allah, aku ada tujuh anak. Engkau ambil satu dan Engkau tinggalkan kepadaku enam lagi. Aku ada empat anggota utamaku, Engkau ambil satu anggotaku dan Engkau tinggalkan untukku tiga lagi. 

Ya Allah, kalau Engkau menguji kami, Engkau akan menyelamatkan yang lain. Apabila Engkau mengambil, Engkau masih menggantikan. Jika Engkau menimpakan kesakitan, Engkau juga telah mengurniakan kesembuhan.

Nampak bagaimana cara Urwah bin Zubair befikir ketika diuji.

Dia berdoa kepada Allah, menyampaikan apa yang ada dalam hatinya. Tapi apa yang disampaikannya sangat menarik. Dia melihat apa diambil Allah dan dia ingat apa yang ditinggalkan Allah. Sesetengah orang hanya ingat apa yang dia hilang sahaja. Dia lupa dia masih ada anak-anak, orang-orang yang dikasihi. Bagi Urwah, cukup untuknya melihat, apa yang diambil Allah itu sedikit, yang ditinggalkan masih banyak lagi.

Dengan demikian, apa yang ada pada Urwah bin Zubair? Kesyukuran. Di tengah ujian tersebut dia bersyukur lagi. Pada awal muka surat 20, ternyata ada orang yang diuji lebih dahsyat daripada Urwah lagi. Seorang lelaki dari Bani Abbas. Dia seorang yang paling kaya di kabilahnya. Satu malam, dia dan keluarganya bermalam di suatu lembah. Tiba-tiba datang banjir. Di atas juga banjir, lalu air turun dengan pantas. Sehingga menghanyutkan seluruh hartanya, isteri dan anak-anaknya, hamba dan untanya. 

Lenyap tidak berbekas, diheret oleh air banjir tersebut. Yang tersisa hanyalah seekor unta dan seorang bayinya yang berusia beberapa bulan. Ketika banjir mula reda, untanya memekik keras dan berusaha untuk lari. Dia segera mengejarnya dan meninggalkan bayinya. Namun baru beberapa belas langkah dia mengejar untanya, dia terdengar tangisan keras dan kuat bayinya. 

Ketika dia kembali ternyata setengah badan bayinya sudah berada dalam mulut serigala. Darah menitis dengan derasnya, tidak mungkin dia dapat menyelamatkannya. Maka dia kembali mengajar untanya. Malangnya ketika dia sudah berada di belakang untanya untuk memegang tali kekangnya, untanya menendang mukanya dengan kedua kaki belakang hingga wajahnya hancur. Matanya juga buta. 

Ketika mendengar ujian lelaki itu, Khalifah Walid bin Abdul Malik menyuruh lelaki ini berjumpa Urwah. Supaya Urwah ambil iktibar daripada kisah lelaki Bani Abbas itu. Sebab bila kita dengar kisah orang yang lebih parah dari kita, kita rasa ringan. Kata Rasulullah SAW: "Untuk bersyukur, selalulah lihat orang yang lebih bawah daripada kamu". Jika rasa miskin, lihat orang yang lebih miskin daripada kita. Jika kita rasa sakit, tak sihat, lihat orang yang lebih sakit dari kita kalau kita rasa kurang berjaya, tengok orang yang lagi kurang berjaya daripada kita. Itu akan melahirkan kesyukuran kita.

Daripada perbincangan kita tentang Urwah bin Zubair, pelajaran yang perlu diambil ialah Urwah kuat dalam menghadapi ujian kehidupannya, sakit yang dihadapinya dan bencana yang menimpanya (anaknya meninggal). Dan juga lelaki Bani Abbas itu yang bertahan menghadapi ujian. Apa rahsianya?

Mereka tidak lupa untuk menyampaikan kepada Allah SWT, apa yang berlaku pada dirinya, dalam bentuk zikir, doa. Kesedaran akan anugerah Allah SWT. Perlu bersyukur. Urwah bin Zubair seorang yang patut diteladani.

A. Bercermin kepada Urwah bin Zubair (lihat m/s 20). Ada 5 pelajaran berharga daripada kisah Urwah bin Zubair:

1. Kesakitan fizikal tidak menghalang daripada melaksanakan azam.

Semasa kakinya terluka, dia boleh kembali ke Mekah kerana Wadi al-Qura masih dekat dengan Mekah. Tapi kerana dia berazam mendamaikan keluarganya, maka dia cuba tahan sakit fizikalnya untuk melaksanakan azam. Ramai orang yang sakit sedikit sudah berundur. Lemah azam. Orang yang kuat azam, tahu apa yang dia mahu. Berhadapan dengan cabaran-cabaran, dia ketepikan cabaran-cabaran dan berusaha untuk melakukannya juga.

2. Kemaslahatan umat lebih utama daripada kemaslahatan peribadi.

3. Kecacatan fizikal tidak menghalangnya berkhidmat untuk umat.

4. Menolak berubat dengan yang haram kerana warak.

5. Tetap tabah, sabar dan tawakal walau diuji dengan ujian yang dahsyat.


B. Ujian sebagai Kepastian Hidup (lihat m/s 31)

Satu perkara yang perlu kita pegang ialah ujian dalam hidup. Ujian tanda hidup, hidup tanda ujian. Hidup mati kita adalah ujian. Ujian dipelbagaikan oleh Allah SWT. Ada yang ujian kebaikan, ada ujian keburukan. Miskin itu ujian, kaya juga ujian. Susah itu ujian, senang juga ujian. Sihat ujian, sakit ujian. Allah SWT mahu lihat kita boleh menjaga syukur dalam kehidupan kita. Secara keseluruhannya Allah mahu kita bersyukur, pandai menghargai kurniaan Allah. Selalu melihat kebaikan Allah walau di tengah ujian seperti Urwah bin Zubair. Ujian hidup menentukan adakah seseorang itu orang yang bersyukur atau kufur.

Di dalam buku ini menceritakan ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang prinsip ujian sebagai kepastian dalam hidup. Nabi Sulaiman contoh orang yang menyedari ujian Allah kepadanya walaupun dia dalam kehidupan senang, dilimpah kurniaan Allah SWT. Banyak kelebihan Allah bagi kepada Nabi Sulaiman. Seperti dalam surah An Naml ayat 40. Allah menganugerahkan kepada Nabi Sulaiman berkuasa kepada banyak makhluk: manusia, jin, binatang. Allah jadikan tunduk kepada Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman dibantu seseorang membawa Singgahsana Ratu Balqis ke istananya:

قَا لَ الَّذِيْ عِنْدَهٗ عِلْمٌ مِّنَ الْـكِتٰبِ اَنَاۡ اٰتِيْكَ بِهٖ قَبْلَ اَنْ يَّرْتَدَّ اِلَيْكَ طَرْفُكَ ۗ فَلَمَّا رَاٰ هُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهٗ قَا لَ هٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّيْ ۗ لِيَبْلُوَنِيْٓءَاَشْكُرُ اَمْ اَكْفُرُ ۗ وَمَنْ شَكَرَ فَاِ نَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهٖ ۚ وَمَنْ كَفَرَ فَاِ نَّ رَبِّيْ غَنِيٌّ كَرِيْمٌ

"Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah."(An-Naml: 40)

Nabi Sulaiman berkata, ini adalah kurniaan Tuhanku. Mereka membantuku dengan senangnya. Ini kurniaan Allah untuk menguji aku, adakah aku bersyukur atau kufur. Siapa yang bersyukur, syukur itu untuk dirinya. Kalau dia kufur, Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia. Dia tidak perlu syukur manusia.

Hidup ini pasti diuji Allah. Kita perlu ingat supaya selalu bersyukur. Nampak nikmat Allah dalam ujian-ujianNya. Sama ada ujian kebaikan atau keburukan.

C. Keterbatasan dan kelemahan manusia dalam menghadapi ujian (lihat m/s 36)

Pada asasnya manusia dimuliakan oleh Allah SWT seperti dalam surah Al Isra' ayat 70:

وَلَـقَدْ كَرَّمْنَا بَنِيْۤ اٰدَمَ وَحَمَلْنٰهُمْ فِى الْبَرِّ وَا لْبَحْرِ وَرَزَقْنٰهُمْ مِّنَ الطَّيِّبٰتِ وَفَضَّلْنٰهُمْ عَلٰى كَثِيْرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيْلًا

"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan." (Al-Isra': 70)

Allah juga menyebut kelemahan manusia seperti dalam:

1. Surah An Nisa 28

يُرِيْدُ اللّٰهُ اَنْ يُّخَفِّفَ عَنْكُمْ ۚ وَخُلِقَ الْاِ نْسَا نُ ضَعِيْفًا

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah."

(An-Nisa': 28)

2. Surah Al Isra' 11

وَيَدْعُ الْاِ نْسَا نُ بِا لشَّرِّ دُعَآءَهٗ بِا لْخَيْرِ ۗ وَكَا نَ الْاِ نْسَا نُ عَجُوْلًا

"Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru."

(Al-Isra': 11)

3. Surah Al Anbiya 37

خُلِقَ الْاِ نْسَا نُ مِنْ عَجَلٍ ۗ سَاُ ورِيْكُمْ اٰيٰتِيْ فَلَا تَسْتَعْجِلُوْنِ

"Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya)." (Al-Anbiya: 37)

Disebut kelemahan manusia, terburu-buru mahu ujiannya diangkat, doa dimakbulkan. Tapi segalanya ada ketentuan masa Allah. Kita hanya perlu buat apa yang diperintahkan Allah. Tapi manusia nak cepat.

4. Surah Al Ahzab ayat 30

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

يٰنِسَآءَ النَّبِيِّ مَنْ يَّأْتِ مِنْكُنَّ بِفَا حِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ يُّضٰعَفْ لَهَا الْعَذَا بُ ضِعْفَيْنِ ۗ وَكَا نَ ذٰلِكَ عَلَى اللّٰهِ يَسِيْرًا

"Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya."(Al-Ahzab: 30)

Manusia berlaku zalim berpunca dari kejahilan untuk keluar dari kebodohan tersebut perlu ilmu.

5. Surah Al Ma'arif 19-21 (berkeluh-kesah, kedekut)

Dalam buku ini dibincangkan dengan panjang kelemahan-kelemahan manusia.


D. Kita sentiasa perlukan Allah (lihat m/s 44 dan Surah Fatir: 15)

Manusia dijadikan keterbatasan supaya kita mengharap dan meminta kepada Allah. Sekiranya manusia tidak diberi kelemahan dan kekurangan, dia akan lupa diri, melampaui batas. Walaupun Allah tahu tapi dia suka mendengar rintihan hambaNya. Jadi bila ada kelemahan, minta kepada Allah. Setiap kita ada kelemahan tapi Allah bantu. Kerana kita memohon kepada Allah, maka Allah lengkapkan kekurangan kita itu.

يٰۤاَ يُّهَا النَّا سُ اَنْتُمُ الْفُقَرَآءُ اِلَى اللّٰهِ ۚ وَا للّٰهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيْدُ

"(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji." (Fatir: 15)

Allah tidak memerlukan manusia, tapi manusia memerlukan Allah.

E. Doa untuk Ujian, Ujian untuk Doa (lihat m/s 47)

Maksudnya doa yang Allah ajar kita untuk menghadapi ujian-ujian kehidupan kita. Apabila diuji Allah SWT, jalan keluarnya adalah doa dan Allah datangkan ujian untuk kita berdoa. Maka jika kita tidak pernah sakit, lalu didatangkan sakit, maknanya ada kekurangan dalam doa dahulu. Maka dengan sakit ini, kita akan berdoa meminta kepada Allah. Dalam surah Al An 'am ayat 40-42.

وَلَقَدْ اَرْسَلْنَاۤ اِلٰۤى اُمَمٍ مِّنْ قَبْلِكَ فَاَ خَذْنٰهُمْ بِا لْبَأْسَآءِ وَا لضَّرَّآءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُوْنَ

"Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat)." (Al-An'am: 42)

Ujian itu untuk kita berdoa. Maka ketika kita diuji, maknanya doa kita kurang. Jadi berdoalah untuk keluar dari ujiannya. Ketahuilah di akhir zaman ini ujian semakin hebat. Jadi kita perlu berdoa dan berzikir

(Bersambung di bahagian 3)

No comments:

Post a Comment

BBBS Zikir Akhir Zaman (bahagian 7) Karya: Abu Fatiah Al Adnani

Bicara Buku Bicara Santai Zikir Akhir Zaman (bahagian 7) Misteri Tahun-tahun Kekeringan Ekstrim Pra Kedatangan Dajjal dan Rahsia Kekuatan Zi...