Bicara Buku Bicara Santai
Zikir Akhir Zaman (bahagian 1)
Karya: Abu Fatiah Al Adnani
Zikir-zikir yang diajarkan dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa akhir zaman. Rasulullah ada sebutkan dalam hadis-hadisnya. Ayat-ayat Al Quran juga ada membincangkan perkara-perkara tersebut. Zikir yang diajarkan adalah yang "mathurat", yang pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Tidak dinafikan sekarang, hampir semua yang diramalkan Rasulullah SAW tentang tanda-tanda kecil akhir zaman sudah dijumpai dan kelihatan jelas dalam kehidupan kita. Jadi amat penting ada panduan dan bimbingan untuk kita melalui fasa-fasa yang kritikal dalam kehidupan kita di akhir zaman ini. Panduan yang paling bagus adalah dari Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Buku ini memberi panduan untuk itu.
Mukadimah Buku
Dalam realiti kehidupan sekarang, hari demi hari, kualiti hidup semakin merosot. Makin menurun nilainya dari segi kedudukan diri dan amalan kita. Adakah masih mengikut panduan Allah? Apakah yang diminta Allah dalam kehidupan kita? Beribadah kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَا لْاِ نْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْنِ
"Tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu." (Az Zariyat: 56)
Jadi matlamat utama kita ialah ibadah kepada Allah. Matlamat inilah yang makin lama makin diabaikan manusia.
Ada 2 kategori ibadah:
1. Ibadah mahdhah
2. Ibadah 'ammah.
1. Ibadah mahdhah:
- setiap amalan yang telah pada ketentuan dan ketetapan dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah seperti solat, zakat, puasa, haji dan umrah.
- asas utama untuk kita lakukan dalam kehidupan di dunia.
2. Ibadah 'ammah:
- ibadah yang bersifat umum yang mana tiada ketetapan dan ketentuannya
- yang Allah SWT menjadikannya satu perkara harus dalam kehidupan kita seperti makan, minum, berjalan, senaman - sesuatu yang umum bermusafir, melancong tetapi kerana matlamat kita dicipta Allah untuk beribadah, kita mesti niatkan juga setiap amalan umum untuk penyembahan diri kepada Allah SWT.
- dengan cara itu kita tetap dapat pahala daripada amalan-amalan umum kita.
- ini termasuklah melayan anak-anak, pasangan, bos / atasan kita. Ini semua sesuatu yang umum tetapi menjadi ibadah bila diniatkan kerana Allah SWT.
- dan sepatutnya orang yang faham prinsip matlamat hidup adalah untuk beribadah, mesti menjadikan semua ibadah bersifat umum, menjadi ibadah Lillahi Taala.
- barulah menjadi satu peluang yang banyak untuk meraihkan kebaikan dunia dan akhirat. Dan dunia ini akan jadi jambatan untuk meraih akhirat.
Realitinya kita manusia terperangkap dalam tipu daya syaitan. Tipu daya syaitan berjaya menjauhkan dari matlamat hidup sebenarnya iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT. Kita disibukkan dengan dunia. Dengan aktiviti yang kita tidak niatkan untuk Allah SWT. Aktiviti yang tahap melalaikan dan melekakan. Syaitan mempunyai program yang nyata dan jelas yang dari dahulu dia war-warkan. Seperti dalam al-Quran, Allah berfirman mengenai rancangan iblis dan syaitan:
قَا لَ فَبِمَاۤ اَغْوَيْتَنِيْ لَاَ قْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَا طَكَ الْمُسْتَقِيْمَ ۙ
"Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menghukum daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;"(Al-A'raf: 16)
ثُمَّ لَاٰ تِيَنَّهُمْ مِّنْۢ بَيْنِ اَيْدِيْهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ اَيْمَا نِهِمْ وَعَنْ شَمَآئِلِهِمْ ۗ وَلَا تَجِدُ اَكْثَرَهُمْ شٰكِرِيْنَ
"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."(Al-A'raf: 17)
Syaitan sudah bersumpah menghalang manusia dari jalan yang lurus dan dia memang Istiqamah dalam melaksanakan sumpahnya itu. Dan syaitan nampak telah berjaya mempengaruhi majoriti manusia. Kebanyakan anak cucu Adam terpengaruh dengan program-program syaitan. Syaitan inginkan kita tidak bersyukur, kufur nikmat.
Setiap kali kita berusaha bersyukur dengan ucapan Alhamdulillah, menghargai setiap nikmat kurnia yang Allah bagi, masa itu Iblis berasa sangat "stress" dan "frust" melihat bersyukurnya manusia. Maka bila manusia kufur, Iblis suka. Kufur terhadap Allah SWT, kufur terhadap keluarga, kufur kepada rezeki yang Allah bagi, asyik rasa kurang, lihat ahli keluarga menyampah, seperti tak ada nilai yang boleh ambil dari keluarga. Inilah rancangan Iblis, tipu daya syaitan kepada kita. Dan ramai yang terpedaya dengan program-program syaitan ini.
Allah SWT telah memberi kita panduan (guidance) bagaimana menghadapi tipu daya syaitan. Rajinlah ikut dan berpegang teguh dengan Kitabullah iaitu al-Quran. Rajin-rajin mendalami al-Quran, memahami al-Quran. Kunci berjaya menghadapi tipu daya syaitan adalah dengan ikut dan berpegang teguh dengan Kitabullah.
Surah Ta-Ha berkaitan peristiwa Nabi Adam AS turun ke muka bumi:
قَا لَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيْعًاۢ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۚ فَاِ مَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِّنِّيْ هُدًى ۙ فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقٰى
"Allah berfirman: Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara."(Ta-Ha: 123)
Ini gambaran bahawa manusia di muka bumi ini, akan ada permusuhan nanti. Nampak dari dulu, sejak kecil sampai sekarang, tak pernah tengok di dunia ini berhenti berperang. Cuma berbeza tempat, kawasan, pelakonnya, orang-orang di belakangnya. Yang memang satu sunatullah, kita manusia saling bermusuhan. Siapa yang akan selamat dari penyakit bermusuh-musuhan ini?
فَاِ مَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِّنِّيْ هُدًى ۙ فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقٰى
Nanti kalau kamu dah ada di muka bumi, Aku akan turunkan kepada kamu petunjuk, bimbingan. Insyaa Allah, siapa yang mengikuti petunjuk tersebut dijamin oleh Allah SWT tidak akan sesat, tidak akan celaka dan sengsara. Apa petunjuk Allah itu? Itulah Kitabullah. Wahyu-wahyu yang diturunkan.
Setiap Nabi dan Rasul berbeza wahyu yang diturunkan kepada mereka. Tetapi kesimpulannya sama, membimbing mereka menghadapi pancaroba kehidupan dunia ini dan terutamanya tipu daya syaitan. Ini matlamat utama Allah SWT menurunkan wahyu petunjuk. Dijamin Allah tidak akan tersesat dan tidak akan sengsara. Hidup dengan aman tenteram dan bahagia. Dan Allah SWT telah memperingatkan:
وَمَنْ اَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِيْ فَاِ نَّ لَـهٗ مَعِيْشَةً ضَنْكًا
"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit,"(Ta-Ha: 124)
Siapa yang berpaling dari peringatanKu iaitu apa yang ada dalam Kitabullah itu, sesungguhnya dia akan dapat kehidupan yang sempit. Ini ancaman Allah. Siapa yang jauh daripada ayat-ayat Allah, Al-Quran, akan tetap sempit walau buat macam-macam kerja. Tapi tak akan ada juga kelapangan, hidup tetap huru-hara. Ketahuilah sebabnya jauh dari ayat-ayat Allah, al-Quran. Insyaa Allah bila kita dekat dengan al-Quran Allah bimbing kita.
وَّنَحْشُرُهٗ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ اَعْمٰى
"dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta." (Ta-Ha: 124)
Di akhirat nanti Kami akan himpun mereka dalam keadaan buta kerana dia tidak menggunakan matanya untuk membaca ayat-ayat Allah. Tidak melihat kembali petunjuk-petunjuk Allah. Dia tak gunakan matanya itu. Maka Allah butakan matanya. Insyaa Allah siapa yang rajin membaca al-Quran, merujuk, mengkaji, akan cerah matanya.
Rasulullah SAW pernah meramalkan berlakunya kemerosotan hidup manusia. Makin lama, manusia makin parah. Hal ini disampaikan Rasulullah, dalam hadis shahih Riwayat Bukhari dan Imam Ahmad:
لَا يَأْتِي عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلَّا الَّذِي بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ
"Tidak datang kalian satu masa, kecuali masa tersebut, sesudahnya keadaan lebih buruk daripada sebelumnya."
Adakah sudah berlaku sekarang? Siapa rasa keadaan manusia di dunia ini, hari demi hari dilihat semakin baik atau semakin buruk? Pendapat Ustaz: keadaan manusia makin lama makin teruk, makin jauh daripada panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Pada zahirnya ada peningkatan, majlis ilmu, al-Quran makin banyak tapi bagi mereka di peringkat umur lanjut.
Bagi yang muda, makin lama makin lagha. Tapi insyaa Allah, Allah SWT akan beri yang lebih baik. Doakan anak-anak kita. Alhamdulillah di bandar, insyaa Allah makin banyak majlis ilmu diadakan berbanding di kampung-kampung. Di mana, masjid-masjid cantik dan besar tetapi tiada pengisian. Disabdakan Rasulullah SAW dan Allah SWT pernah menyatakan dalam al-Quran, tentang kemerosotan manusia yang makin lama, makin jauh. Seperti di dalam surah al Anbiya:
اِقْتَرَبَ لِلنَّا سِ حِسَا بُهُمْ وَهُمْ فِيْ غَفْلَةٍ مُّعْرِضُوْنَ ۚ
"Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya." (Al-Anbiya: 1)
Sudah dekat kepada manusia hari perhitungan segala amal perbuatan mereka iaitu hari kiamat tapi mereka lalai dan berpaling.
Jadi daripada ayat ini, ada dua penyakit umat akhir zaman:
1. Ghaflah / Lalai
2. I'rad - berpaling dan tidak peduli dengan urusan agama. Tidak ambil kisah dengan kemungkaran, pelanggaran-pelanggaran terhadap ajaran-ajaran agama dan menganggap itu hak asasi mereka, tak perlu kacau.
Dan Allah SWT highlight perkara ini yang menunjukkan tanda akhir zaman. Hal ini juga ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan Imam Hakim dan At-Tabrani. Rasulullah SAW bersabda:
Ittarabanis sa 'ah wala yazda dun nas su 'alad dunya illa hirsa
Sudah dekat kiamat tersebut, tidak yang bertambah kepada manusia melainkan cinta dunia.
Manusia semakin berkejar untuk mendapatkan dunia. Padahal dunia ini hanyalah tempat sementara. Dan perkara-perkara yang dikejar itu seperti rezeki, Allah sudah tetapkan kepada kita. Dan kita perlu mengambilnya dengan cara baik. Kadang-kadang orang yang mengejar dunia, lupa perkara yang penting. Kebahagiaan hakiki. Hubungan dengan keluarga, anak-anak.
Wala yazda dun nas su 'alad dunya illa hirsa -"Orang makin gilakan dunia,"
Wala yazdu minallahi illa fu 'adan - "Dan manusia semakin jauh daripada Allah." Nauzubillahiminzalik.
Bagaimana penyelesaian 2 penyakit ini? Lawan Gahflah dengan kesedaran. Zikir-zikir daripada kita lalai. Banyakkan zikir kepada Allah SWT. Jika diturutkan Ghaflah, hati kita akan keras seperti batu. Seperti disebut Allah dalam al-Quran:
ثُمَّ قَسَتْ قُلُوْبُكُمْ مِّنْۢ بَعْدِ ذٰلِكَ فَهِيَ كَا لْحِجَا رَةِ اَوْ اَشَدُّ قَسْوَةً ۗ وَاِ نَّ مِنَ الْحِجَا رَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ الْاَ نْهٰرُ ۗ وَاِ نَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ الْمَآءُ ۗ وَاِ نَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللّٰهِ ۗ وَمَا اللّٰهُ بِغَا فِلٍ عَمَّا تَعْمَلُوْنَ
"Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah: 74)
Hati manusia yang tidak dididik (tarbiyyah) akan lalai. Maka ia akan keras umpama batu bahkan lebih keras. Batu kalau dititis air berkali-kali, lama-lama akan mengalami perubahan. Tapi hati manusia kalau dah keras, tidak boleh terpengaruh lagi. Tak terkesan dengan nasihat, tunjuk ajar. Tidak akan berubah.
Inilah yang akan menjadi penghuni neraka jahanam seperti firman Allah dalam surah Al A'raf ayat 179.
*Kesimpulan tadabbur surah Al A'raf, menceritakan bagaimana menghadapi tipu daya syaitan. Bagaimana selamat dalam kehidupan dunia ini.
Di neraka jahanam nanti banyak jin dan manusia:
وَلَـقَدْ ذَرَأْنَا لِجَـهَنَّمَ كَثِيْرًا مِّنَ الْجِنِّ وَا لْاِ نْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوْبٌ لَّا يَفْقَهُوْنَ بِهَا ۖ وَلَهُمْ اَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُوْنَ بِهَا ۖ وَلَهُمْ اٰذَا نٌ لَّا يَسْمَعُوْنَ بِهَا ۗ اُولٰٓئِكَ كَا لْاَ نْعَا مِ بَلْ هُمْ اَضَلُّ ۗ اُولٰٓئِكَ هُمُ الْغٰفِلُوْنَ
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai."(Al-A'raf: 179)
Binatang bila dijaga betul-betul, diberi apa yang dikehendaki, ia boleh jinak, ikut apa yang diinginkan tuannya. Tapi manusia kalau seperti ini, lebih teruk dari binatang lagi.
Siapa yang boleh jadi lebih teruk daripada binatang?
اُولٰٓئِكَ هُمُ الْغٰفِلُوْنَ
Ia adalah orang-orang yang Ghaflah, orang-orang yang lalai, leka. Tidak sedar dengan apa tujuan hidupnya di muka bumi ini.Maka, oleh itu kita lawan kelalaian itu dengan zikrullah. Ini sangat penting. Banyakkan berzikir.
(Bersambung di bahagian 2)
No comments:
Post a Comment