Bicara Buku Bicara Santai
Zikir Akhir Zaman (bahagian 5)
Akhir Zaman Yang Dinubuwatkan Nabi Muhammad SAW
Bahagian ini membincangkan apa yang dikatakan Nabi mengenai akhir zaman. Secara tidak langsung kita telah berada di akhir zaman. Dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW, kita menjadi umat akhir zaman. Nabi Muhammad adalah nabi yang terakhir dan tiada lagi nabi atau Rasul selepasnya. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ أُمَّتِي الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِيءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ
Daripada Abdullah, beliau berkata : Telah bersabda Rasulullah s.a.w : “Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka, selepas itu akan datang satu kaum di mana penyaksian salah seorang daripada mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului penyaksiannya.” (Riwayat Muslim)
Pada zaman tabiin, bila mereka memberi kesaksian, ianya sahih dan benar. Jika mereka bersumpah, ianya wujud daripada kebenaran yang disampaikan.
Tapi akan ada generasi selepas itu, mereka bersumpah tapi sumpahnya bohong. Ada yang mendatangkan saksi tapi saksi itu tipu. Tak dapat pegang sesuatu daripada mereka. Inilah generasi yang sumpah dan kesaksiannya tidak dapat dipegang.
Generasi sekarang, macam-macam jenis sumpah dibuat tetapi sumpah yang tidak benar. Sumpah yang tidak bersumber keyakinan kepada Allah dan tidak takut dengan sumpah.
Dahulu sumpah adalah pilihan terakhir seseorang kerana menggunakan nama Allah. Rasulullah sebutkan hilang nilai kesaksian dan sumpah di kalangan manusia.
Dan kata Rasulullah lagi di dalam hadis lain:
اصْبِرُوا، فَإِنَّهُ لاَ يَأْتِي عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلَّا الَّذِي بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ، حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ. سَمِعْتُهُ مِنْ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Bersabarlah, sesungguhnya tidak akan tiba satu masa melainkan masa yang tiba selepas itu lebih teruk, sehinggalah kamu bertemu Tuhanmu. Aku mendengar hal ini daripada Nabi kamu, S.A.W.” (Riwayat Bukhari)
Keadaan makin lebih teruk daripada sebelumnya. Semakin tidak mengikut panduan Allah dan RasulNya, Al Quran dan Sunnah. Semakin jauh. Yang betul-betul berpegang kepada Al Quran dan Sunnah semakin lama semakin sedikit. Kita berharap kita menjadi orang yang sedikit tersebut.
Yang menghargai kesaksian dan sumpah. Tidak akan memberi kesaksian palsu dan tidak menyampaikan sumpah bohong. Semoga kita selamat sehingga bertemu Allah SWT.
Keadaan akan berterusan makin teruk dan parah hinggalah Zaman Kenabian Kedua. Kembalinya manhaj kenabian yang dibawa Rasulullah SAW. Iaitu zaman kemunculan Imam Mahadi. Menurut hadis-hadis Rasulullah, akan lahir / muncul Al Mahdi dan diikuti kemunculan semula Nabi Isa a.s hingga dunia kembali berada di atas ajaran Rasulullah SAW. Islam dilaksanakan dengan baik pada masa itu.
Namun selepas itu, akan kembali teruk dan parah hingga tiada orang beriman dan pada masa itu akan berlaku Kiamat Al Kubra (Kiamat yang sebenarnya).
Lagi keadaan akhir zaman yang telah disebutkan Rasulullah SAW:
1. Pudarnya Ilmu Syariat
Mulai hilangnya ilmu agama (syariat). Pada zaman ini akan muncul bermacam-macam ilmu baru: komunikasi, psikologi, IT. Banyak-banyaknya yang tersebar dan berkembang pesat di dunia.
Tetapi ironinya, ilmu syariat makin lama makin ditinggalkan. Ramai yang tidak peduli. Ia adalah bagai pilihan terakhir, bukan pilihan utama. Dulu yang menjadi alim ulamak adalah orang-orang yang pandai dan cerdik. Sehingga mereka menggabungkan ilmu agama dengan ilmu sains dan melahirkan penemuan-penemuan hebat.
Sekarang yang dihantar ke sekolah agama, mereka yang dah tak boleh maju di sekolah biasa. Maka yang menjadi alim ulamak ini adalah yang " kelas kedua". Tapi kini nampak orang lebih cenderung ke arah agama terutama di kawasan bandar. Yang menghantar anak ke Tahfiz, dari golongan profesional yang berjaya.
Yang telah melalui masa menguasai ilmu dunia tetapi kosong dengan ilmu akhirat. Mempunyai perasaan belum cukup lengkap. Cuma sayang tak ada "follow-up" yang menjadikan mereka ini bukan hanya Hafiz dan Hafizah tetapi kalau boleh menjadi alim ulamak, tokoh-tokoh hebat yang menghasilkan ilmu-ilmu dan kemahiran-kemahiran yang berguna bagi umat manusia.
Kekurangan ini kita nampak, sistem Sekolah Tahfiz di Malaysia tidak lengkap dan komprehensif. Seharusnya Sekolah Tahfiz dapat melahirkan orang-orang yang bukan hanya menghafal tetapi faham apa yang dihafal dan mempraktisnya.
Sabda Rasulullah lagi:
إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ وَيَظْهَرَ الْجَهْلُ وَيَفْشُوَ الزِّنَا وَيُشْرَبَ الْخَمْرُ وَيَذْهَبَ الرِّجَالُ وَتَبْقَى النِّسَاءُ حَتَّى يَكُونَ لِخَمْسِينَ امْرَأَةً قَيِّمٌ وَاحِدٌ
“Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan” (HR Bukhari Muslim)
Di antara tanda akhir zaman adalah akan menjadi sedikit ilmu syariat (ilmu agama, ilmu kenal Allah, ilmu Al Quran, ilmu hukum hakam). Tapi alhamdulillah, kita belum lagi sampai tahap ini.
Masih ada yang antara kita masih berusaha menutupi kekurangan dan kelemahan ini dengan mendidik anak-anak dan cucu-cucu cintakan ilmu syariat, ilmu Al Quran dan Hadis, Tauhid, Aqidah. Mereka berusaha menjadi orang yang mengetahui dengan baik perkara-perkara ini.
Dan akan berkembang pesat kejahilan (kebodohan dalam bab beragama).
يَعْلَمُوْنَ ظَاهِرًا مِّنَ الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا ۖ وَهُمْ عَنِ الْاٰ خِرَةِ هُمْ غٰفِلُوْنَ
"Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat."
(Ar-Rum: 7)
Bab dunia - kereta, rumah, semua mereka tahu tetapi mereka tidak ada ilmu akhirat.
Selain itu Rasulullah juga menyebut:
- akan banyak berlaku perzinaan
- lebih ramai perempuan daripada lelaki sehingga seorang lelaki menguruskan 50 orang perempuan.
Sekarang tiada lagi alasan untuk tidak belajar ilmu agama. Selain sekolah agama dan Tahfiz, banyak program-program mengaji dan kelas-kelas online juga dianjurkan oleh ustaz dan ustazah.
2. Banyaknya berlaku kesyirikan, bida'ah dan aliran sesat
Kesyirikan moden berlaku bukan seperti zaman dahulu: menyembah berhala, membuat sajian untuk pokok, laut dan sungai. Di zaman moden berlaku kesyirikan membesar-besarkan dan mengagungkan tokoh-tokoh manusia.
Mengamalkan perkara-perkara yang bercanggah dan menyebabkan mereka jauh daripada Allah. Menyebabkan mereka tidak merasakan kebesaran Allah, hanya merasakan kebesaran makhluk, kehebatan alam (New Age Movement - usaha membina pemikiran baru yang alam ini yang menjadikan kita kaya, perlu minta pada alam).
Berhati-hati dengan program-program motivasi moden yang digerakkan dengan semangat-semangat berkobar-kobar tetapi tidak mendekatkan kita dengan Allah. Yang kita besarkan dan agungkan ialah diri kita. "Aku boleh!" "Aku hebat!" "Aku berkeupayaan!" Ini syirik moden yang menyebabkan orang tidak yakin pada kebesaran Allah. Dia yakin kebesaran dirinya dan kehebatan usahanya.
Muncul juga bida'ah-bida'ah baru seperti cara berdoa. Aliran-aliran sesat juga makin banyak muncul. Generasi berusia tidak dapat memahami pemikiran generasi muda kerana mereka bercakap dengan bahasa tersendiri.
Cara komunikasi sesama mereka yang generasi tua tak faham. Dan di sebalik itu ada ajaran-ajaran sesat, pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan agama yang menyebabkan mereka makin jauh daripada Allah. Dunia makin dipentingkan dan akhirat diabaikan.
Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَلْحَقَ قَبَائِلُ مِنْ أُمَّتِي بِالْمُشْرِكِينَ، وَحَتَّى يَعْبُدُوا اْلأَوْثَانَ، وَإِنَّهُ سَيَكُونُ فِي أُمَّتِيْ ثَلاَثُوْنَ كَذَّابُونَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ، وَأَنَا خَاتَمُ النَّبِيِّيْنَ، لاَ نَبِيَّ بَعْدِيْ.
"Kiamat tidak akan terjadi hingga suku-suku dari umatku bergabung dengan orang-orang musyrik dan hingga mereka menyembah berhala. Di tengah umatku kelak akan ada 30 pendusta, masing-masing mengaku sebagai nabi, padahal aku adalah penutup para nabi, tidak ada nabi sesudahku.” (HR.Abu Dawud dan Tirmidzi)
Dengan terang dan jelas Rasulullah SAW telah mengatakan dia adalah Nabi dan Rasul yang terakhir diutuskan Allah SWT. Tetapi munculnya "nabi-nabi" palsu yang ramai pengikutnya yang percaya kepadanya. Ini fitnah dan ujian akhir zaman.
Maka belajarlah agama elok-elok. Jangan rasa berat belajar ilmu agama. Kuncinya bahasa Arab. Jika tidak faham bahasa Arab kita hanya mengikut sahaja. Semoga generasi muda juga masih berminat mempelajari dan mendalami ilmu agama.
Hadis Rasulullah SAW lagi:
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبٌ مِنْ ثَلاَثِينَ، كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللهِ. “
Tidak akan terjadi hari Kiamat hingga dibangkitkan ‘dajjal-dajjal’ (para pendusta) yang jumlahnya mendekati tiga puluh, semuanya mengaku bahawa mereka adalah utusan Allah.”
3. Kemungkaran Bermaharajalela
Hadis Rasulullah:
سَيَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ خَسْفٌ ، وَقَذْفٌ ، وَمَسْخٌ ” ، قِيلَ : وَمَتَى ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : ” إِذَا ظَهَرَتِ الْمَعَازِفُ وَالْقَيْنَاتُ ، وَاسْتُحِلَّتِ الْخَمْرُ
“Pada umat ini akan terjadi (di akhir zaman) penenggelaman bumi, hujan batu dan pengubahan rupa. Ada seorang dari kaum muslimin yang bertanya, bilakah peristiwa itu akan terjadi? Beliau menjawab, ” Apabila muzik dan biduanita telah maharajalela dan khamr (arak) telah dianggap halal. (Riwayat Bukhari)
Penenggelaman ke dalam bumi ini mungkin disebabkan gempa besar yang berlaku lalu runtuh. Seperti berlakunya tsunami yang menenggelamkan satu kampung.
Hujan batu mungkin bermaksud berlaku bencana besar dari langit.
Pengubahan wajah, sekarang ni banyak orang yang cucuk Botox untuk tampak lebih cantik.
Ia akan berlaku apabila orang lebih cenderung menjadi penyanyi dan pemuzik daripada belajar ilmu agama atau sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. Dan apabila arak telah diminum secara meluas.
Ini menjadi asbab berlakunya bencana besar ke atas umat. Ini petanda-petanda akan dekatnya berlaku penenggelaman, hujan batu dan pengubahan wajah manusia itu.
Hadis Rasulullah dari Abu Malik Al Asy'ari RA:
لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ، وَلَيَنْزِلَنَّ أَقْوَامٌ إِلَى جَنْبِ عَلَمٍ يَرُوحُ عَلَيْهِمْ بِسَارِحَةٍ لَهُمْ، يَأْتِيهِمْ يَعْنِي -الْفَقِيرَ- لِحَاجَةٍ فَيَقُولُونَ: ارْجِعْ إِلَيْنَا غَدًا، فَيُبَيِّتُهُمُ اللهُ وَيَضَعُ الْعَلَمَ وَيَمْسَخُ آخَرِيْـنَ قِرَدَةً وَخَنَازِيرَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.
“Akan datang pada umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamr (minuman keras) dan alat muzik, dan sungguh akan menetap beberapa kaum di sisi gunung, di mana (para pengembala) akan datang kepada mereka dengan membawa gembalaannya, datang kepada mereka -yakni si fakir- untuk sebuah keperluan, lalu mereka berkata, ‘Kembalilah kepada kami esok hari.’ Kemudian Allah menghancurkan mereka pada malam hari, menghancurkan gunung dan merubah sebagian mereka menjadi kera dan babi sampai hari Kiamat.”
Muzik pada asasnya adalah haram kecuali jenis-jenis tertentu.
Membuat rumah di sisi gunung susah tapi disukai kerana nampak pemandangan cantik. Tetapi kemewahan dan keseronokan hidup itu tidak diiringi rasa kesyukuran dan amal soleh.
Kekayaan dan kemewahan tersebut menyebabkan mereka bakhil dan kedekut. Bila ada orang meminta sedekah, bantuan atau pertolongan, mereka tunda. Ini tanda akhir zaman. Dan Allah SWT menghancurkan mereka malam itu juga. Jangan menunda-nunda sedekah, memberi bantuan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok atau malam nanti. Mungkin Allah datangkan musibah, musnah semua.
Kita tak dapat memberi manfaat kepada orang-orang sekeliling kita dan kita juga tak dapat manfaat daripada harta kita itu. Maka, segerakanlah dalam memberi bantuan dan sedekah.
Hadis Rasulullah SAW:
والذي نفسي بيده ، لا تفنى هذه الأمة حتى يقوم الرجل على المرأة فيفترشها في الطريق ، فيكون خيارهم يومئذ من يقول : لو واريتها خلف هذا الحائط
”Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak akan hancur umat ini hingga kaum lelaki mendatangi kaum wanita, lalu dia menyetubuhinya di jalan. Orang yang paling baik di antara mereka saat itu berkata, ’Seandainya engkau melakukannya di belakang tembok ini.’”
Itulah iman yang paling kuat pada waktu itu. Majoriti yang lain tidak kisah, buatlah apa yang nak buat asalkan bukan pada keluargaku. Mungkin dia juga buat perkara yang sama hingga dah tak kisah. Tak mau menegur kemungkaran dan kabatilan yang ada di depan mereka. Mereka redha seperti itu saja.
Pada akhir zaman, maksiat bermaharajalela.
Rasulullah mengingatkan kita:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
"Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman." (Riwayat Muslim)
4. Amal Soleh Merosot Tajam
Makin lama, makin berkurang, makin teruk. Sekarang juga sudah terasa. Kita lebih sibuk dengan telefon, gajet dan lupa untuk beribadah, membaca Al Quran, berzikir, bersolat fardu dan sunat. Nauzubillahi min zalik.
Bagi yang mendengar perkara ini, mari kita perbaiki diri kita sama-sama. Agar meluangkan masa untuk beramal soleh dan beribadah kepada Allah SWT, bantu dan tolong orang lain.
Rasulullah bersabda:
يتقارب الزمان، ويُقْبَضُ العِلمُ، وتظهر الفتنُ، ويُلْقَى الشُّحُّ، ويَكثُرُ الهَرْجُ))، قالوا: وما الهَرْجُ؟ قال: القتل
“Waktu akan menjadi dekat, ilmu dicabut, aneka fitnah bermunculan, kekikiran merebak dan al-harju kian banyak.” Mereka berkata, “Apa yang dimaksud dengan al-harju?” beliau bersabda, “Pembunuhan.” (HR. Al-Bukhari Muslim)
Fenomena akhir zaman, dirasakan waktu cepat berlalu. Baru pagi dah petang. Baru petang dah tengah malam. Baru hari ini dah esok. Baru minggu ini dah minggu depan. Baru bulan ini dah bulan depan. Dah habis tahun.
Amal soleh orang pada waktu ini, makin berkurang. Sebenarnya masa dirasa berlalu pantas kerana kita buat perkara lagha. Kalau mengaji 15 minit dibandingkan dengan menonton TV 15 minit, yang mana rasa lama, yang mana yang cepat? Pasti mengaji 15 minit itu rasa lama. Menonton 15 minit rasa cepat. Masa tidak isi dengan amal soleh. Isilah masa dengan amal soleh bermula dari bangun Subuh, mengaji, zikir, solat Dhuha, majlis ilmu, bantu orang. Isilah, barulah rasa masa berjalan perlahan.
Waktu itu juga akan ramai orang kedekut, bakhil, tidak menderma ke jalan Allah. Simpan untuk diri sendiri dan perkara lagha. Dan akan banyak berlaku pembunuhan. Dalam riwayat lain Rasulullah berkata:
إِنَّ أَمَامَ الدَّجَّالِ سِنِينَ خَدَّاعَةً يُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيَتَكَلَّمُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ الْفُوَيْسِقُ يَتَكَلَّمُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ
“Sesungguhnya sebelum datangnya Dajjal akan ada tahun-tahun penuh tipu daya, dimana orang-orang jujur didustakan dan para pendusta dibenarkan, orang-orang yang dapat dipercaya dikhianati, orang-orang yang berkhianat dipercaya, dan berbicaralah pada saat itu Ar-Ruwaibidhah. Dikatakan “apa itu Ar-Ruwaibidhah?”. Beliau menjawab “orang-orang fasiq yang berbicara tentang urusan orang banyak.” (HR: Ahmad).
Zaman terbalik. Orang buat kerja dengan baik dan amanah, dikatakan pengkhianat. Dan akan ramai orang bercakap tentang urusan orang awam - politik, pendidikan, ekonomi, agama, hukum-hakam. Sedangkan mereka tidak ada ilmu mengenai perkara tersebut.
Ruwaibidah. Ini penyakit umat akhir zaman terutama dengan teknologi media sosial sekarang. Makin terzahir apa yang dinyatakan Rasulullah. Ramainya orang bercakap tentang Islam sedangkan bukan bidang mereka. Berhati-hatilah. Serahkan kepada yang arif dalam bidang mereka.
Ia boleh menyebabkan mudharat. Bergaduh sesama kita, tuduh-menuduh, kutuk-mengutuk. Ini bukan cara yang diajar Rasulullah.
Di dalam hadis lain, Rasulullah berkata:
"Hampir datang satu zaman, di mana manusia disaring dengan ketat hingga hanya menyisakan manusia sampah."
Orang baik, Allah SWT matikan cepat. Meninggal orang-orang alim, soleh, dermawan. Hingga tinggal orang-orang yang bodoh dan jahil sahaja. Semoga kita terhindar dari golongan yang tinggal (dianggap sampah manusia).
Masyarakat yang tidak menunaikan amanah, banyak berselisih, bergaduh, berpecah, bertengkar sesama mereka. Sekarang ini ustaz-ustaz dan ulamak-ulamak juga demikian. Tidak boleh duduk sama-sama. Ukhwah yang mahal itu semakin hilang di kalangan masyarakat.
Percayalah dengan yakin, kita sudah di akhir zaman. Perkasakan zikir kita. Perkasakan amal soleh kita. Perkasakan doa kita. Itulah senjata yang paling dahsyat dan hebat daripada senjata nuklear.
No comments:
Post a Comment