Bicara Buku Bicara Santai
Zikir Akhir Zaman (bahagian 4)
Karya: Abu Fatiah Al Adnani
Pada perbincangan lepas, telah dibincangkan betapa dahsyatnya kuasa zikir dan doa dalam menghadapi wabak, bala bencana dan musibah. Hendaklah seorang mukmin yakin doa itu satu senjata yang ampuh, kuat dan mujarab untuk menghadapi apa pun masalah dalam kehidupan. Jangan lupa, Allah datangkan masalah atau ujian untuk kita berdoa.
Dengan doa, kita akan dekat dengan Allah SWT. Allah amat suka melihat hamba-hambanya meminta dan memohon kepadanya. Jangan segan atau takut untuk berdoa kepada Allah SWT sebab doa itu merupakan sesuatu yang penting dalam hidup kita dan ia sendiri adalah ibadah. Maka jangan abaikan doa. Buku ini mengajak kita menghayati kesan-kesan dan kehebatan doa.
Perbincangan selanjutnya mengenai dahsyatnya zikir dan doa dalam menghadapi bencana dengan mengambil pengajaran dari kisah Nabi Yunus as. Nabi Yunus antara nabi yang mulia di sisi Allah SWT. Tetapi dia juga menghadapi perkara-perkara yang tidak disangka. Nyata Allah SWT mengujinya dengan ujian-ujian yang menyebabkan dia rasa tidak mampu dihadapi lalu melarikan diri.
A. Negeri mukmin yang unik dan langka (jarang jumpa)
Pada asasnya manusia sejak Nabi Adam as, bermula dengan iman dahulu. Maksudnya mereka sama-sama mempertuhankan Allah yang satu. Mereka mempunyai Tauhid yang jelas dan nyata pada Allah SWT. Namun daripada Tauhid yang murni tersebut, mereka dipengaruhi oleh Syaitan dan Iblis. Sehingga mereka menyimpang daripada Tauhid itu. Mereka jauh daripada panduan agama yang sahih dan benar yang dibawa oleh Nabi Adam. Maka berlakulah penyelewengan hingga zaman Nabi Nuh a.s.
Nabi Nuh a.s berdakwah kepada kaumnya yang mana kaumnya itu majoritinya kafir kecuali Nabi Nuh dan beberapa pengikutnya. Jumlah mereka lebih kurang 83 orang sahaja. Ini sahaja orang yang beriman pada masa itu. Nabi Nuh berdakwah bertahun-tahun kepada kaumnya. Lebih kurang 950 tahun. Usia Nabi Nuh lebih dari seribu tahun menurut ulamak. Hingga ke satu tahap, Nabi Nuh telah tidak mampu berdakwah kepada kaumnya dan mereka semakin teruk dan dahsyat. Hingga Nabi Nuh berdoa kepada Allah:
وَ قَا لَ نُوْحٌ رَّبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الْاَ رْضِ مِنَ الْكٰفِرِيْنَ دَيَّا رًا
"Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!"(Nuh: 26)
اِنَّكَ اِنْ تَذَرْهُمْ يُضِلُّوْا عِبَا دَكَ وَلَا يَلِدُوْۤا اِلَّا فَا جِرًا كَفَّا رًا
"Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar." (Nuh: 27)
Nabi Nuh as meminta Allah lenyapkan semua orang kafir dari muka bumi pada masa itu. Dan Nabi Nuh berdoa lagi:
رَبِّ اغْفِرْلِيْ وَلِـوَا لِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَّلِلْمُؤْمِنِيْنَ وَا لْمُؤْمِنٰتِ ۗ وَلَا تَزِدِ الظّٰلِمِيْنَ اِلَّا تَبَا رًا
"Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!" (Nuh: 28)
Kerana dia sedar dia juga ada kelemahan, maka dia memohon ampun kepada Allah. Kerana isteri dan anaknya sendiri juga tidak beriman maka dia mensyaratkan hanya kepada orang yang beriman. Inilah kemuncak apa yang ada dalam hati Nabi Nuh menghadapi kaumnya yang begitu teruk dan parah. Jadi sampai pada satu tahap, Allah binasakan semua orang kafir. Maka tinggallah Nabi Nuh dan kaumnya yang beriman sahaja.
Dalam sejarah manusia ada dua fasa di mana tiada orang kafir:
1. Zaman awal Nabi Adam as
2. Selepas banjir besar yang melanda bumi. Ini satu-satunya banjir yang meliputi seluruh dunia pada waktu itu.
Zaman selepas banjir besar, majoritinya orang Islam. Menurut penulis, untuk mendapatkan bumi ini kosong daripada orang kafir adalah susah dan untuk mendapatkan satu kaum yang semuanya beriman juga susah. Pasti akan ada yang beriman dan yang kafir. Itu sudah Sunatullah.
Tapi ada berlaku perkara yang unik dan langka iaitu satu kaum yang semuanya kafir berubah semuanya beriman. Kaum manakah? Itulah kaum Nabi Yunus a.s. Awalnya mereka kufur dan ingkar kepada dakwah Nabi Yunus a.s tetapi Allah datangkan musibah dan tanda-tanda azab kepada mereka. Pada ketika itu mereka teringat kepada Nabi Yunus dan mereka sedar lalu bertaubat akhirnya Allah SWT angkat azab daripada mereka:
فَلَوْلَا كَا نَتْ قَرْيَةٌ اٰمَنَتْ فَنَفَعَهَاۤ اِيْمَا نُهَاۤ اِلَّا قَوْمَ يُوْنُسَ ۗ لَمَّاۤ اٰمَنُوْا كَشَفْنَا عَنْهُمْ عَذَا بَ الْخِزْيِ فِى الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا وَمَتَّعْنٰهُمْ اِلٰى حِيْنٍ
"(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian - ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan)." (Yunus: 98)
Ini perkara jarang ditemui. Namun di sebalik peristiwa ini ada peristiwa yang sedih. Bagaimana peristiwa mereka ini berubah? Ketika Nabi Yunus a.s putus asa dengan dakwah kepada kaumnya. Sudah puas disampaikan agama Allah kepada mereka tetapi mereka masih lagi cenderung kepada kekafiran. Mereka masih lagi menyekutukan Allah. Mereka menyembah berhala-berhala dan lebih meyakini kekuatan yang lain selain Allah sendiri.
Sehingga Nabi Yunus putus asa. Nabi Yunus marah dan geram dengan sambutan mereka sehingga Nabi Yunus meninggalkan negerinya dengan menaiki sebuah kapal yang sarat.
وَاِ نَّ يُوْنُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِيْنَ ۗ
"Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus."
(As-Saffat: 139)
اِذْ اَبَقَ اِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُوْنِ ۙ
"(Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat."
(As-Saffat: 140)
فَسَاهَمَ فَكَا نَ مِنَ الْمُدْحَضِيْنَ ۚ
"(Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut)."
(As-Saffat: 141)
فَا لْتَقَمَهُ الْحُوْتُ وَهُوَ مُلِيْمٌ
"Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak."
(As-Saffat: 142)
Sebelum meninggalkan mereka, Nabi Yunus berpesan kepada kaumnya, "Kalau kamu tidak berubah juga dalam tiga hari, selepas itu kamu akan didatangi azab Allah SWT." Mereka tidak mempercayai kata-kata Nabi Yunus a.s. Maka selama 3 hari tersebut, mereka berpesta, berseronok sesuka hati. Pada hari keempat, nampak perubahan di negeri mereka. Dari jauh kelihatan awan yang gelap dan hitam menyelubungi dari pelbagai penjuru. Ia mula menyelimuti negeri mereka itu. Matahari mulai tertutup. Pada hari kelima, datang angin yang kuat. Pada ketika itu mereka ke kuil-kuil dan rumah-rumah ibadat mereka menyajikan makanan kepada "tuhan-tuhan" mereka supaya dapat menolong mereka. Tetapi keadaan tidak berubah. Mereka berkata, "Inilah yang dikatakan Yunus. Nampaknya apa yang disampaikan Yunus itu betul. Azab yang akan datang, nampak betul." Masuk hari keenam, keadaan makin parah.
Maka mereka bermesyuarat, berkumpul sesama mereka. Ketika itu mereka merasa apa yang dibawa Nabi Yunus a.s adalah benar dan sepakat untuk bertaubat kepada Allah SWT. Sepakat meninggalkan sembahan-sembahan mereka sebelum ini. Lalu mereka ikut apa yang dibawa Nabi Yunus a.s. Mereka bertaubat, beristighfar, memohon Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan mereka yakin dengan Allah sahaja pada waktu itu. Pada hari ketujuh, selepas bertaubat sedikit demi sedikit, tanda-tanda azab itu diangkat oleh Allah SWT. Angin kencang semakin perlahan. Awan hitam mulai hilang. Cahaya matahari kembali. Ketika itu mereka sangat bersyukur bahawa azab yang hendak didatangkan Allah kepada mereka diangkat dan mereka sangat berharap dapat berjumpa Nabi Yunus a.s. Mereka mencari Nabi Yunus tetapi baginda telah menaiki kapal dan pergi berlayar.
Nabi Yunus a.s ketika dalam pelayaran pada mulanya, tiada apa yang berlaku. Tetapi apabila semakin jauh dari daratan, datang ombak besar. Matahari terang tetapi ombak sangat besar hingga menggoncangkan kapal. Kebetulan kapal itu penuh dengan penumpang dan barang-barang. Kapten kapal itu bermesyuarat dengan krunya. Maka kata mereka, buatlah undian. Mungkin ada sebahagian dari kita yang perlu dibuang sama ada barang ataupun orang. Jika tidak semuanya akan tenggelam. Maka dibuatlah undian.
Nabi Yunus turut di dalam undian tersebut. Nama Nabi Yunus yang keluar di dalam undian itu. Orang-orang di atas kapal itu berasa segan dengan Nabi Yunus kerana dia kelihatan seorang yang berakhlak, warak, tidak pernah kacau orang, sentiasa bertasbih menyebut nama Allah.
Takkanlah dia yang nak dicampak ke laut? Maka akhirnya mereka bersetuju untuk mengundi lagi. "Kasihan lelaki ini (Nabi Yunus a.s) jika dia yang dicampak kerana dia orang yang baik." Tetapi nama Nabi Yunus juga yang naik. Hingga kali ketiga namanya keluar, Nabi Yunus akur, "Inilah ketentuan Allah buat saya. Maka campaklah saya ke laut ini." Pada ketika itu Nabi Yunus sudah merasakan ada sesuatu perkara yang Allah SWT tidak suka dan tidak redha.
Maka Nabi Yunus pun dicampak ke laut. Ketika itu, ombak kembali tenang, kapal kembali berlayar dengan mudah. Dan Nabi Yunus disambut oleh ikan Nun (Nabi Yunus digelar Dzun Nun). Maka, Nabi Yunus masuk ke dalam perut ikan tersebut tetapi Allah SWT, mentakdirkan ikan itu tidak memakannya atau menghancurkan badannya. Ia hanya menjadi penjara kepada Nabi Yunus. Pada ketika itu, Nabi Yunus bersujud di dalam perut ikan itu dan memohon keampunan Allah SWT.
Berapa lama Nabi Yunus di dalam perut ikan Nun itu? Pandangan ulamak berbeza-beza. Ada pendapat yang mengatakan:
1. 40 hari (Anas bin Malik, Ka'ab bin Malik, Ibnu Juraij)
2. 20 hari (ulamak tafsir Adh Dhahhak)
3. 7 hari (Said bin Jubair)
4. 3 hari (Mujahid dan Qatadah)
5. 1 hari - ditelan waktu pagi, petang dikeluarkan (As Sya'bi)
Majoritinya berpendapat Nabi Yunus berada dalam perut ikan selama 40 hari.
B. Tasbih dari Kedalaman Samudera
Bagaimana Nabi Yunus a.s boleh bertahan 40 hari, 40 malam di dalam perut ikan? Inilah takdir Allah dan rahsia yang menyebabkan Nabi Yunus boleh bertahan adalah pada zikir. Allah SWT memberi ilham kepada Nabi Yunus untuk bertasbih di kedalaman samudera. Dalam perut ikan Nun itu, dia bertasbih, bersolat. Ungkapan tasbih ini terkenal:
لَّاۤ اِلٰهَ اِلَّاۤ اَنْتَ سُبْحٰنَكَ اِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظّٰلِمِيْنَ
Allah merakamkannya dalam Al Quran:
وَ ذَا النُّوْنِ اِذْ ذَّهَبَ مُغَا ضِبًا فَظَنَّ اَنْ لَّنْ نَّـقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَا دٰى فِى الظُّلُمٰتِ اَنْ لَّاۤ اِلٰهَ اِلَّاۤ اَنْتَ سُبْحٰنَكَ اِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظّٰلِمِيْنَ ۚ
"Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri." (Al-Anbiya: 87)
Nabi Yunus a.s marah terhadap kaumnya yang tidak seorang pun sudi menyahut dakwahnya. Sedangkan dia telah berdakwah bertahun-tahun. Lalu dia tinggalkan kaumnya tersebut.
Pada waktu itu, Nabi Yunus menyangka Allah tidak akan menghukumnya. Dia tidak berdoa memberitahu Allah yang dia sudah tiada daya menghadapi kaumnya, memohon kebenaran meninggalkan kaumnya.
Tapi dia tinggalkan begitu sahaja hinggalah Allah menghukumnya dengan memasukkannya ke dalam perut ikan itu. Maka Nabi Yunus a.s menyeru Allah SWT dalam kegelapan.
- Majoriti ulamak tafsir menjelaskan berdoa dalam kegelapan ini maksudnya:
1. Kegelapan perut ikan tersebut
2. Kegelapan dasar lautan yang dalam
3. Kegelapan malam
Ini pendapat Said bin Jubair, Qatadah dan majoriti ulamak tafsir.
Ada pendapat mengatakan kegelapan itu maksudnya Nabi Yunus di dalam perut ikan dan ikan itu pula ditelan ikan yang lebih besar di dasar laut yang gelap. Ini pendapat Salim bin Abi Ja'at.
Dan ada pendapat menyatakan Nabi Yunus berdoa dari usus besar ikan tersebut dalam perut ikan yang gelap di dalam lautan yang gelap. Ini pendapat Ibnu Said.
Nabi Yunus a.s tetap berzikir seperti lazimnya dia berzikir sebelum itu:
لَّاۤ اِلٰهَ اِلَّاۤ اَنْتَ سُبْحٰنَكَ اِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظّٰلِمِيْنَ
Yakinnya Nabi Yunus, Allah Maha Suci. Dia tidak meletakkan berlakunya kekafiran kaumnya itu melainkan ada kebaikan dan hikmah. Semuanya di atas kelemahannya.
- Menurut ulamak, doa Nabi Yunus itu ada tiga elemen penting:
1. Kalimah toyyiba - tahlil لَّاۤ اِلٰهَ اِلَّاۤ اَنْتَ
2. Tasbih - سُبْحٰنَكَ
3. Istighfar memohon ampun dengan menyebut - اِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظّٰلِمِيْنَ
Pada awalnya taubat adalah menyedari kekurangan dan kesalahan kita. Maka dalam zikir Nabi Yunus ada 3 perkara hebat ini.
Apa yang berlaku ketika Nabi Yunus berzikir dengan doa ini? Riwayat (Imam Ibnu Jarir Ath Thabari, Ibnu Abi Hatim dan Al Bazzar) menyatakan, doa Nabi Yunus di perut ikan ini naik ke langit. Terdengar ke langit hingga mencapai 'Arasy.
Para malaikat bertanya-tanya "Wahai Allah, ini ada satu suara doa yang lemah tapi seperti biasa didengar, tapi bukan dari tempat biasa, dari negeri yang sangat asing dan jauh sekali. Tidak dapat mengecam dari mana."
- Jika kita selalu berdoa, para malaikat turut mengaminkan doanya. Siapa yang malas berdoa, malaikat juga tidak perasan dirinya.
Allah bertanya kepada malaikat, "Tidakkah kamu tahu pemilik suara ini? Tidakkah kamu ingat suara yang sering kamu dengar ini?"
"Suara siapakah ini, Ya Allah?"
Allah berkata, "HambaKu Yunus. Dia telah melakukan satu dosa pada Aku. Maka Aku menahannya dalam perut ikan paus di dalam lautan."
Satu dosa dilakukan Nabi Yunus akibatnya dia dihumban dalam perut ikan. Bagaimana manusia lain? Kita perlu ingat, jika kita berdosa dan langsung Allah tunjukkan kesan dosa kita, Allah tegur kita dengan berlakunya sesuatu, itu tandanya Allah sayang kita. Dengan syarat dengan teguran itu kita ingat lalu kita insaf.
Jangan sampai kita buat banyak dosa tapi Allah tak tunjukkan kesannya. Dengan dosa kita itu, kita semakin senang, buat seperti tak ada apa-apa dalam hidup kita, itu tanda Allah tidak sayang pada kita. Nabi Yunus orang yang paling baik pada zamannya, yang dikasihi Allah SWT, bila dia buat silap, lari dari tugas dan tanggungjawab, Allah langsung hukumnya.
Ketika malaikat diberitahu itu Nabi Yunus yang dihukum Allah disebabkan dosanya. Para malaikat berkata, "Oh hambaMu Ya Allah. Yang siang dan malam sentiasa terangkat kehadratMu amal solehnya dan doanya mustajab. Dia kan seorang yang rajin berdoa, orang yang rajin solat dan beramal soleh. Kenapa Engkau biarkan dia dihukum sebegitu?"
Para malaikat berkata, "Ya Allah, tidakkah Engkau menyelamatkannya dari bencana ini dengan perantaraan amal soleh yang biasa dilakukan saat dia dalam lapang?"
Ini menunjukkan beramal di masa senang menjadi asbab untuk kita dibantu oleh malaikat dan diangkat Allah dari kesusahan melalui amal soleh kita semasa senang. Jadi semasa sihat, tak ada apa-apa, rajin-rajinlah berzikir, baca Quran, hadir majlis ilmu, memgamal amal kebaikan, bersedekah. Sebagai persediaan zaman susah. Agar boleh disebut kepada Allah nanti. Bertawassul dengan amal soleh adalah antara tawassul syar'ie, yang dibenarkan Allah SWT.
Allah SWT berkata kepada malaikat, "Tentu Aku akan selamatkan dia. Aku akan keluarkan dia dari kesusahan ini. Tapi takdir Aku menyatakan dia perlu masuk perut ikan ini dahulu. Biar dia tahu kesalahan dan kelemahannya dulu."
Maka berdoalah Nabi Yunus a.s selama dia berada di dalam perut ikan, tidak berhenti-henti. Doa dan zikir inilah yang menjadi makanan Nabi Yunus a.s pada waktu itu. Yang menyebabkan dia bertenaga dan mempunyai kekuatan.
- Zikir dan doa ini sangat bagus untuk menguatkan tubuh badan dan kesihatan kita. Di akhir zaman, akan datang satu masa di mana Bumi ini akan berada dalam kegelapan. Pada waktu berlakunya satu letupan besar yang menyebabkan asap tebal meliputi Bumi nanti. Pada masa itu kita tidak ada kemampuan mencari makanan, tidak ada kekuatan sebab keadaan gelap gelita (فِى الظُّلُمٰتِ). Sebagai panduan, apabila berlaku perkara itu, zikir apa yang perlu diamalkan? Zikir Nabi Yunus a.s:
لَّاۤ اِلٰهَ اِلَّاۤ اَنْتَ سُبْحٰنَكَ اِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظّٰلِمِيْنَ
"Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri."
Berkat zikir dan doa Nabi Yunus itu, Allah SWT selamatkan Nabi Yunus. Ikan itu rasa tidak selesa dengan adanya sesuatu di dalam perutnya, yang tak lagi dia mampu lumatkan dan makan hingga habis. Ini menyebabkan ikan itu hendak muntahkannya. Ditakdirkan Allah ikan paus ini merapatkan diri ke pantai lalu ia muntahkan Nabi Yunus a.s, yang berada dalam keadaan lemah selepas beberapa hari tidak makan dan minum. Pantai itu pula kering-kontang, tak ada apa-apa. Ketika itu Allah SWT dengan kuasanya tumbuhkan dekat dengan Nabi Yunus sejenis tumbuhan yang menjalar.
فَنَبَذْنٰهُ بِا لْعَرَآءِ وَهُوَ سَقِيْمٌ ۚ
"Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit."
(As-Saffat: 145)
وَاَ نْۢبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِّنْ يَّقْطِيْنٍ ۚ
"Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar." (As-Saffat: 146)
وَاَ رْسَلْنٰهُ اِلٰى مِائَةِ اَلْفٍ اَوْ يَزِيْدُوْنَ ۚ
"Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih."
(As-Saffat: 147)
فَاٰ مَنُوْا فَمَتَّعْنٰهُمْ اِلٰى حِيْنٍ ۗ
"(Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing)." (As-Saffat: 148)
Kaumnya yang tidak mahu beriman sudah berubah bahkan berganda. Jadi ujian yang dilalui Nabi Yunus adalah untuk Allah beri dia sesuatu yang hebat selepas itu. Jangan lupa Allah tidak datangkan kepada kita ujian yang dahsyat melainkan Allah nak bagi sesuatu yang hebat.
Nabi Yunus dicampak ke dalam perut ikan Nun itu untuk diutus kembali kepada kaumnya yang ketika itu sudah ramai. 100 ribu orang pada zaman itu jumlah yang sangat ramai. Ke manakah Nabi Yunus diutus itu? Majoriti ulamak mengatakan dia diutus kembali kepada kaumnya. Kembali ke negerinya semula iaitu negeri Ninawa yang terletak di Mosul, Syria.
Pada awalnya negeri itu kufur tapi Allah SWT jadikan mereka beriman. Tetapi, setelah drama yang amat dahsyat, proses keimanan mereka tersebut. Kita perlu yakin jika Allah berkehendak itulah jadinya. Jangan putus asa dalam berdakwah, dalam perjuangan.
Kehebatan doa dan zikir. Ini yang ditekankan dalam kelas ini. Bahawasanya kalau Nabi Yunus diselamatkan Allah daripada situasi yang sangat kritikal, sangat hebat dan dahsyat, rahsianya pada zikir dan doa tadi. Dalam Surah Al Anbiya, selepas disebut kisah Nabi Yunus yang diselamatkan Allah SWT itu, Allah berkata:
فَا سْتَجَبْنَا لَهٗ ۙ وَنَجَّيْنٰهُ مِنَ الْـغَمِّ ۗ وَكَذٰلِكَ نُـنْجِى الْمُؤْمِنِيْنَ
"Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami)." (Al-Anbiya: 88)
Seorang ulamak mengulas ayat ini, katanya ini kaedah, undang-undang yang perlu diikuti. Sekiranya Allah makbulkan doa Nabi Yunus a.s dan dikeluarkan dari kesusahan, demikian juga bagi orang-orang beriman. Allah akan selamatkannya, keluarkannya dari kesusahan tersebut. Ini dipertegaskan dalam hadis Rasulullah SAW tentang kehebatan zikir dan doa yang diamalkan Nabi Yunus ini: Daripada Sa’ad bin Abi Waqas RA bahawa Nabi SAW bersabda:
دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الحُوتِ: لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ
Maksudnya: “Doa Nabi Yunus ketika baginda berdoa di dalam perut ikan paus: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka sesungguhnya tidak seorang muslim itu apabila berdoa dengannya untuk sesuatu perkara (masalah) melainkan Allah SWT akan memustajabkan baginya”. [Riwayat al-Tirmizi (3505)]. Juga diriwayatkan oleh Nasaie, Imam Ahmad dan Hakim Baihaqi.
Kalau berada dalam kesusahan dan dibaca doa ini, insyaa Allah, Allah angkat dari kesusahan itu. Allah akan selamatkan. Ini jaminan Rasulullah.
Di dalam hadis Rasulullah yang lain:
الا أخبركم بشىء إذا نزل برجل منكم كرب، أو بلاء من بلايا الدنيا دعا به يفرج عنه؟ فقيل له: بلى، فقال: "دعاء ذي النون: لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين.
“Tak mahukah kamu aku beritahu tentang satu doa yang apabila kamu ditimpa kesusahan atau apa-apa bencana dunia, lalu kamu berdoa dengannya, kamu terus terlepas dari kesusahan dan bencana yang menimpamu itu?” Jawab para sahabat. “Tentulah (kami) mahu.” Maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Itulah doa Dzun Nun (Nabi Yunus a.s.):
لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالين."
Umat akhir zaman mesti tahu doa ini dan beramal dengannya. Jangan tinggalkannya. Jadikanlah ia wirid.
No comments:
Post a Comment