Bicara Buku Bicara Santai
Zikir Akhir Zaman (bahagian 3)
Karya: Abu Fatiah Al Adnani
Pada pertemuan lepas telah dibincangkan mukadimah buku Zikir Akhir Zaman ini.
A. Cermin Urwah bin Zubair
Mengambil pemgajaran daripada kisah Urwah bin Zubair seorang tabiin yang sangat alim, warak dan tawadduk. Beliau menjadikan doa dan zikir sebagaib senjatanya dalam menghadapi ujian kehidupan yang sangat dahsyat.
B. Ujian sebagai Kepastian Hidup
Tidak boleh lari daripada menghadapi ujian dalam hidup. Kita perlu sentiasa bersedia menghadapinya. Senjata untuk berjaya melalui ujian-ujian itu adalah antaranya zikir dan doa.
C. Keterbatasan dan Kelemahan Manusia dalam Menghadapi Ujian
Kita perlukan zikir dan doa kerana manusia mempunyai kelemahan untuk menghadapi ujian-ujian Allah. Dengan ilmu akan membantu menguatkan dan menambahkan daripada kelemahan kita. D. Kita sentiasa perlukan Allah SWT (lihat m/s 44 dan surah Fatir ayat 15)
Islam mengajar kita meminta kepada Allah (As Samad - tempat bergantung, berharap)
D. Doa untuk Ujian, Ujian untuk Doa
Bila kita diuji Allah, kita perlu doa untuk menghadapi ujian itu hingga keluar dari ujian itu dengan jayanya. Kembali kepada Allah, Dia akan menolong. Jangan bila diuji merasa tidak perlukan Allah. Buruk sangka ujian itu hanya azab Allah. Tidak berusaha untuk menghadapinya dengan baik.
Perbincangan dilanjutkan mengenai kepentingan doa.
E. Doa adalah senjata utama menawan bencana
Rasulullah SAW telah meramalkan memang akan berlaku musibah dan bencana yang banyak di akhir zaman. Bersambung-sambung, berpindah dari satu tempat ke tempat lain, banyak musibah dan bencana. Wabak Covid-19 juga adalah musibah yang sedang kita hadapi. Ia berlaku di seluruh dunia hingga melumpuhkan banyak perekonomian masyarakat dan dunia seperti penerbangan.
Jadi apa yang perlu kita buat? Kita perlukan senjata untuk menghadapinya. Berdoa adalah senjata yang paling kuat untuk menghadapi musibah ini. Mengapa kita tidak menggunakannya? Sedangkan jika doa orang musyrik juga dimakbulkan Allah, jika dalam kesusahan.Tapi selepas selamat mereka kembali syirik, bermaksiat dan melakukan dosa. Maka doa kita orang Islam yang beriman, kalau kita berdoa, tentulah Allah makbulkan. Perlu tanam yakin dalam diri.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ
Maksudnya: “Doalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu yakin bahawa Allah SWT akan memustajabkannya.” [Riwayat al-Tirmizi (3479)]
Jangan ragu-ragu. Rajinlah berdoa, minta kepada Allah. Berdoa bukan semestinya selepas solat sahaja. Kita juga boleh berdoa semasa beraktiviti harian: semasa memandu kereta, berjalan, berjoging, bekerja. Tidak terikat pada tempat dan masa. Bila teringin, terus berdoa.
Jangan ditunda. Namun memang ada masa afdal doa seperti: ⅓ terakhir malam, waktu antara azan dan iqamah. Dan juga tempat afdal doa seperti: Mekah, Madinah, kawasan barokah seperti Tur Sina. Tapi bukan berdoa di masa dan tempat itu sahaja. Berdoalah pada bila-bila masa di mana-mana. Jangan mengenepikan peranan doa bagi orang-orang beriman.
- Doa adalah media terbaik untuk meraih keinginan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT
اَمَّنْ يُّجِيْبُ الْمُضْطَرَّ اِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوْٓءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَآءَ الْاَ رْضِ ۗ ءَاِلٰـهٌ مَّعَ اللّٰهِ ۗ قَلِيْلًا مَّا تَذَكَّرُوْنَ ۗ
"Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu)." (An-Naml: 62)
- Enggan berdoa adalah tanda sombong
وَقَا لَ رَبُّكُمُ ادْعُوْنِيْۤ اَسْتَجِبْ لَـكُمْ ۗ اِنَّ الَّذِيْنَ يَسْتَكْبِرُوْنَ عَنْ عِبَا دَتِيْ سَيَدْخُلُوْنَ جَهَنَّمَ دَا خِرِيْنَ
"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina."(Ghafir: 60)
Nauzubillahiminzalik. Doa adalah ibadat, mahu tidak mahu, berdoalah kepada Allah SWT. Doa itu sama seperti solat, puasa dan zikir. Ambillah peluang berdoa kepada Allah pada bila-bila masa dan tempat.
- Orang yang paling lemah adalah orang yang tidak sanggup berdoa.
Sabda Rasulullah SAW:
أَعْجَزُ النَّاسِ مَنْ عَجِزَ فِي الدُّعَاءِ، وَأَبْخَلُ النَّاسِ مَنْ بَخِلَ بِالسَّلاَمِ
“Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah (malas) berdoa kepada Allah. Dan sebakhil-bakhil manusia adalah orang yang bakhil mengucapkan salam.” [al-Tabarani, disahihkan oleh al-Albani]
Ini fenomena di zaman sekarang, orang berat melafazkan salam sedangkan ia sunnah Rasulullah SAW yang hebat.
Diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا، أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ
“Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak sebenarnya beriman sehingga kamu saling mencintai (berkasih sayang). Mahukah aku tunjukkan kamu sesuatu yang apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan saling mencintai (berkasih sayang)? Sebarkanlah salam di antara kamu.” [Sahih Muslim: 54]
Yang sepatutnya dilakukan ialah memberi salam kepada semua orang sama ada kita kenal ataupun tidak kenal. Salam itulah yang akan menjadi penghubung kita. Seperti hadis Rasulullah SAW:
تُطْعِمُ الطَّعَامَ، وَتَقْرَأُ السَّلاَمَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَعَلَى مَنْ لَمْ تَعْرِفْ
Maksudnya: “Kamu memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan kepada orang yang kamu tidak kenal.” [Riwayat al-Bukhari (6236)]
Berlaku juga salah faham bahawa orang yang bermaksiat / berdosa tidak diterima atau dimakbulkan doanya. Buat dengan cara yang betul, insyaa Allah, Allah terima doa kita. Bertaubat dengan beristighfar, menyesali perbuatan lalu dan berdoalah kepada Allah.
Berdoa dalam apa juga keadaan dan situasi adalah digalakkan. Jangan rasa ragu-ragu yang kita cuma berdoa bila dalam kesusahan. Yang sepatutnya minta doa kepada Allah dan bila Allah selamatkan, terus jaga ketaatan dan tidak kembali melakukan dosa. Jangan tinggalkan doa. Insyaa Allah, Allah dengar dan makbulkan.
G. Doa menolak bencana yang akan, sedang dan telah terjadi.
Doa bukan hanya akan menolak bencana yang akan terjadi sahaja. Bahkan boleh menolak bencana yang sedang terjadi dan telah terjadi. Maka kalau kita sedang berhadapan dengan musibah seperti musibah wabak penyakit ini, berdoalah. Nanti mungkin akan ada perkara dahsyat yang akan berlaku kepada kita di masa akan datang, Allah SWT telah menentukan takdir baik dan takdir buruk kita.
Kerana kita tahu ada takdir buruk, maka kita cuba menghindarinya dengan berdoa. Bencana yang telah terjadi atau menimpa kita, yang merupakan kesilapan atau dosa kita, maka berdoalah supaya mudarat itu tidak berpanjangan.
Contoh orang yang berjaya keluar dari kesusahan musibah bencana disebabkan doa:
1. Nabi Ayyub - Allah mengujinya dengan penyakit, wabak yang melanda harta-bendanya, binatang ternakannya, anak-anaknya meninggal dan akhirnya dia sendiri sakit. Apa yang dilakukan oleh Nabi Ayub? Dia bersabar dan berdoa kepada Allah. Setelah berdoa, Allah mengangkat penyakitnya hingga sembuh, hartanya dikembalikan dan Allah menganugerahi semula anak-anaknya dan isterinya kembali. Kalau Nabi Ayub boleh mengapa tidak kita?
2. Nabi Zakaria - diuji Allah, isterinya mandul berpuluh-puluh tahun hingga berusia tua. Tapi dia tidak berhenti berdoa hingga Allah makbulkan. Mandul juga satu ujian, maka berdoalah agar Allah makbulkan.
3. Nabi Musa - dugaan besar dihadapi, Firaun menyiksa dan berlaku zalim terhadap orang-orang Bani Israel. Nabi Musa berdoa kepada Allah sehingga Bani Israel selamat daripada Firaun dan Firaun ditenggelamkan.
Itu semua rahsia di sebalik doa yang tidak putus-putus dari para nabi dan orang-orang soleh. Jangan kita lupa untuk berdoa dalam hidup kita.
H. Bila kekuatan doa bertembung dengan dahsyatnya bencana
Pada asasnya adakah doa mempunyai kekuatan untuk menghindarkan bencana atau musibah? Ya, boleh. Dalilnya ialah:
Dari Salman Al-Farisi RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Yang dapat menolak takdir hanyalah doa. Yang dapat menambah umur hanyalah amalan kebaikan.” (HR. Tirmidzi, no. 6 dalam Kitab Al-Qadr)
Doa fungsinya menolak takdir yang buruk. Hidup kita tidak pernah kosong dari takdir baik ataupun buruk. Doa membantu kita selamat daripada keburukan. Umur juga boleh bertambah dengan kebaikan.
Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ
Maksudnya: “Sesungguhnya doa bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.” Riwayat al-Tirmizi (3548)
Takdir boleh berubah, seperti yang telah dibincangkan dalam tadabbur Surah An Nahl. Terdapat dua jenis takdir iaitu:
- Takdir mubram - hanya Allah yang mengetahuinya dan ianya tetap tidak akan berubah
- Takdir mu'allam - bergantung kepada bagaimana kita menghadapinya dan Allah akan mengubahnya menjadi baik atau buruk
Tidak menjadi susah rezeki seseorang itu melainkan kerana dosa dan maksiat yang dilakukannya.
Daripada Thauban RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ ، وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ
Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.”
Riwayat Ibn Majah (4022), Ahmad (22745) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9752)
يَمْحُوْا اللّٰهُ مَا يَشَآءُ وَيُثْبِتُ ۚ وَعِنْدَهٗۤ اُمُّ الْكِتٰبِ
"Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada Ibu segala suratan." (Ar-Ra'd: 39)
Kesudahan kita hanya Allah yang Maha Mengetahui. Berbaik sangkalah bila kita dalam kesusahan, Allah boleh keluarkan kita daripadanya dan mengubah keadaan menjadi lebih baik.
Dalam hal ini, penulis buku ini mengingatkan kita kepada kitab Ibnu Qayyim "Jawabul Kafi Liman Sa'ala 'Anid Dawa Asy Syafi". Ada 3 kemungkinan bila kita berdoa dan Allah mentakdirkan berlakunya bencana atau musibah.
1. Doa kita lebih kuat daripada bencana yang akan berlaku.
Diiringi keyakinan, Iman yang kuat, tidak melakukan perkara yang dimurkai Allah. Maka walaupun Allah telah menentukan akan berlaku perkara buruk kepada kita tetapi kerana kuatnya doa dan diri kita pada masa itu. Doa yang terlaksana dan makbul. Takdir buruk itu terhapus daripada kita.
2. Doa lebih lemah daripada bencana, maka bencana yang terjadi tetapi doa tetap berfungsi seperti mengurangkan.
Kekuatan doa itu lemah, kekuatan musibah / takdir buruk itu lebih kuat daripada doa kita. Dalam buku ini, dinyatakan bahawa kekuatan doa kita bergantung kepada diri kita sendiri. Keimanan, keyakinan, ketaatan kita, bersihnya hati kita.
Doa jadi lemah bila kita campur dengan maksiat, kelalaian. Untuk menguatkannya, masa berdoa kena tahu apa yang dibaca, baca bersungguh-sungguh, hindari daripada dosa, maksiat, makanan haram, jauhi penyakit hati seperti dengki, sombong, riak. Jika tidak doa akan jadi lemah. Seperti kisah Urwah bin Zubair. Takdir musibah itu lebih kuat dan dahsyat. Tapi dia dapat lalui dengan tenang, dengan hati yang lapang.
Mungkin doa kita tidak dimakbulkan tapi kita dapat melalui ujian itu dengan lebih ringan.
3. Doa dan bencana sama-sama kuat ia bertarung hingga hari kiamat.
Al-Hakim meriwayatkan dari Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sikap waspada tidak mampu menolak takdir. Doa memberikan manfaat kepada hal-hal yang telah terjadi dan yang belum terjadi. Pada saat musibah itu turun, doa segera menghadapinya. Keduanya saling bertarung hingga tiba hari kiamat."
Doa dengan ketentuan buruk itu sentiasa bertembung hingga kiamat. Setiap pertembungan ada manfaat. Doa itu meringankan, dapat hadapinya.
Kita sangat perlukan pengertian doa seperti ini, supaya kita jangan putus asa, supaya kita tahu apa nak buat bila dalam kesusahan. Ramai yang tidak tahu bagaimana menghadapi kesusahan hidup. Kita mesti menepis keraguan terhadap kehebatan doa.
No comments:
Post a Comment